Dalam usaha meringankan beban mangsa banjir, gabungan-gabungan Lions Club Johor Bahru tampil menyumbangkan sebanyak 1,000 selimut kepada Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).
Sumbangan diterima oleh YB Mejar Cina Dato’ David Wong sebelum disampaikan kepada Penolong Pegawai Daerah Johor Bahru, Muhamad Rashdan Rahmat mewakili Pegawai Daerah Johor Bahru.
Dato’ David Wong berkata, sumbangan selimut antara barangan keperluan penting untuk kegunaan mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“YSIJ amat menghargai sumbangan daripada gabungan Lions Club ini dan ia juga merupakan persediaan dalam menghadapi bencana banjir berikutan peralihan monsun.
“Sumbangan ini disampaikan kepada Pejabat Daerah Johor Bahru untuk disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir di PPS di dalam daerah Johor Bahru,” katanya.
Majlis serahan sumbangan berlangsung di Kompleks Penghulu Mukim Bandar Pejabat Daerah Johor Bahru pada hari ini (21 November).
Dato’ David Wong berkata, beliau turut berharap lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dapat tampil membantu menyalurkan sumbangan bagi membantu mangsa-mangsa banjir.
“DYMM Sultan Johor menerusi YSIJ sentiasa mengurniakan pelbagai bantuan bagi membantu golongan memerlukan dan amat diharapkan lebih banyak NGO juga dapat tampil dalam bekerjasama bersama YSIJ,” katanya.
Terdahulu, pada pagi tadi sebanyak 503 kotak sumbangan makanan disampaikan kepada pelajar-pelajar golongan B40 Sekolah Kebangsaan Desa Cemerlang dan 20 sumbangan peribadi daripada DYMM Sultan Johor.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *